KITA CUMA ADA SESAAT UNTUK HIDUP - RINA KIFLI

Ahad, 19 Mei 2024

KITA CUMA ADA SESAAT UNTUK HIDUP

 

Antara yang akan berlaku hari pertama buat manusia yang ‘berpindah’ ke alam barzakh adalah mereka akan mengulang-ulang kata: 

“Wahai Allah, kembalikan aku hidup di dunia.”

Golongan itu menyesal kerana tidak sempat beramal soleh ketika diberikan peluang oleh Allah SWT ketika hayatnya di dunia. 

Perkara itu dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: 

"Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia).” 

(Surah al-Mu’minuun, ayat 99)


Bagaimanapun, Allah SWT menyatakan perkara itu tidak sama sekali akan berlaku. Tidak ada sesiapa pun yang berada di alam barzakh dapat dikembalikan sehinggalah mereka dibangkitkan semula pada hari akhirat.

Seperti dinyatakan dalam Surah al-Mu’minuun, ayat 100 yang bermaksud: 

“Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan.” 

Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia saja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Seandainya esok kita mati, bermakna hanya setakat malam ini saja segala ibadat dan amalan kebaikan yang dapat kita lakukan. 

Islam mengajar umatnya supaya mempercayai dengan penuh keimanan, kehidupan di dunia ini adalah tempat beramal sebanyak mungkin.


Kehidupan di akhirat semata-mata bagi menerima pembalasan atas setiap amalan yang dilakukan di dunia. Kematian adalah proses kembalinya semula asal usul kejadian manusia.

Ketahuilah kita cuma ada sesaat untuk hidup sekiranya bila-bila masa sahaja Allah SWT menjemput kita. Perbaiki ibadah dalam hidup kita.

Tiada ulasan: