Hubungan suami isteri ada pasang surutnya. Hari ini baik-baik, esok lusa berperang bagai nak rak. Minta dijauhkan! Itulah kuasa sang pencipta yang Maha Membolak-balikkan hati. Sebab itu, penting untuk kita berdoa agar rumah tangga damai bahagia sampai syurga.
Berkahwin sudah semestinya hajat kita yang telah tercapai, tetapi cabarannya adalah sehingga akhir hayat kita pula. Apakah kita bahagia bersama suami dan suami bahagia bersama kita sebagai isterinya?
Pasti ada hal atau masalah yang terjadi dalam rumah tangga yang memberi kesan kepada hubungan suami isteri. Namun, untuk pulihkan hubungan rumah tangga ini, kedua-duanya memainkan peranan penting dan perlu bertolak ansur.
Kebanyakan masalah juga puncanya daripada wanita kerana sering terlalu overthinking, terlalu mendesak, tidak pernah cukup dan syukur, sering bebel, marah suami dan lain-lain lagi walaupun pada mulanya suami adalah puncanya. Aduh, pening kalau kita fikir sapa punca dan sapa betul ni.
Apa-apapun, tundukkanlah ego wahai isteri sekalian. Lagi kita bebel banyak, lagi tegang jadinya hubungan ini. Apa kata kita pulihkan hubungan rumah tangga dengan memikat semula suami kita. Maklumlah, zaman sekarang ni bahaya kalau kita bergaduh lama-lama, sudah-sudahlah tu. Jom kita pikat suami semula!
Oh ya, nak pikat suami tapi tak tahu cara. Ada juga yang malu sampai sekarang. Tak reti pun nak memikat sebab selalu suami yang pikat dia. Takpe, jangan risau. Jom sis ajar 30 cara pikat suami untuk pulihkan hubungan rumah tangga anda.
#1 Patuh Arahan Suami
Suami pasti terpegun kalau anda pikat si dia guna cara ini. Anda patuh segala arahan suami seperti lakukan apa yang diminta dan segera buat apa yang disuruh. Cara pikat suami ini mampu meredakan kemarahan suami dan memulihkan hubungan rumah tangga.
#2 Utamakan Suami
Tunjukkan bahawa anda adalah orang pertama yang mengutamakan suami lebih dari segalanya (Kecuali Allah SWT). Maksudnya, apa sahaja yang dilakukan, anda akan berfikir tentang suami dan hak nya.
#3 Ubah Cara Hidup
Ubah cara hidup anda menjadi lebih baik lagi dalam perhubungan rumah tangga ini. Cara pikat suami ini pastinya membolehkan anda bangun lebih awal, sediakan sarapan, jadi lebih rajin, cantikkan rumah dan memberikan mood suami anda gembira dan senang hati selalu.
#4 Cantikkan Diri Sendiri
Siapa kata kecantikan diri sendiri tak penting? Nak pikat suami kenalah cantik-cantik, tambah-tambah lagi kalau nak pulihkan hubungan rumah tangga. Cara pikat suami dengan mencantikkan diri ini bukan sahaja akan membuatkan suami lebih suka dan puji anda, tetapi hubungan suami isteri lebih harmoni gitu. Suami pun ada mood untuk bermanja-manja tiap malam. Opss!
#5 Masak Makanan Kegemaran
Masaklah makanan kegemaran suami anda dengan paling sedap sekali. Suami pasti suka makan makanan feveretnya setelah sekian lama tak makan, bergaduh dengan isteri , kemudian dapat pula makan apa yang dia suka. Pastinya ini adalah satu tiket untuk anda pulihkan hubungan rumah tangga.
#6 Buat Surprise Kepada Suami
Banyak jenis surprise boleh anda buat untuk si suami. Pastinya mereka juga takkan menyangka bahawa anda mampu berikan surprise untuk mereka. Sebagai contoh, belikan tiket wayang secara online dan hadiahkan kepada mereka. Alang-alang, anda boleh pergi berdating! Selain itu, belikan surprise delivery dan hantar terus ke kerja mereka, pasti mereka terkejut.
#7 Teman Suami Makan
Jangan terkejut, teman suami makan juga adalah cara pikat suami untuk pulihkan hubungan rumah tangga. Ramai yang tidak makan bersama suami walaupun suami sendiri tak kisah, tetapi sebenarnya, jika anda berada di samping suami ketika dia makan, ikatan akan menjadi lebih kukuh. Pendek kata, ada aura membentuk kasih sayang di situ.
#8 Sentiasa Puji Suami
Sama ada kekuatan, kebijaksanaan, rupa paras atau apa sahaja hal berkaitan suami, lebih baik anda puji sahaja. Pujian akan menjadikan si suami tenang hati dan lembut hati dengan para isteri. Itulah cara pikat suami untuk pulihkan hubungan rumah tangga. Namun, buatlah dengan ikhlas, jangan puji tetapi tak ikhlas pula.
#9 Menjaga Penampilan Dan Pemakaian suami
Suami akan tersentap apabila anda tetap menjaga penampilan dan pemakaiannya, tetapi kali ini untuk pulihkan hubungan rumah tangga, terpaksalah kita jaga lebih lagi! Belikan mereka pakaian baru 1 helai T shirt berkolar sudah memadai untuk menunjukkan keprihatinan kita inginkan mereka ada baju baru.
Tidak semestinya beli baju, sebenarnya jaga penampilan suami dan pakaian suami dari segi pastikan baju mereka tidak kedut, serika baju mereka dan buat persediaan bagi kelengkapan mereka dengan perfect!
#10 Manjakan Suami Setiap Masa
Kalau dahulu, ada masa-masa tertentu untuk kita bermanja, kali ini, kita manjakan mereka selalu pula. Peluk dari belakang, kiss mereka secara tiba-tiba atau memberi hint manja buat mereka. Pasti itu akan membantu anda pikat suami apatah lagi untuk pulihkan hubungan. Tetapi jangan mengada-ngada pula ya!
#11 Berterus Terang Dan Cerita Apa Sahaja Masalah Kepada Suami
Suami akan lebih suka jika anda berterus terang atau bercerita apa sahaja masalah yang anda alami dengan mereka. Sama ada masalah dengan mereka sendiri atau orang lain, suami akan suka mendengarnya daripada mulut anda sendiri.
#12 Jangan Bandingkan Suami Dengan Orang Lain
Pantang sangat kalau orang bandingkan kita dengan orang lain! Macam tu juga dengan suami! Jangan suka-suka bandingkan mereka dengan orang lain. Hormat dan sanjungi mereka, diri orang lain tidak sama dan jelas berbeza.
#13 Kurangkan Masa Dengan Smartphone, Hiburan Dan Shopping
Cara pikat suami ramai tak tahu adalah buat sementara waktu, anda harus ketepikan sikap yang suka bermain fon, tonton hiburan ataupun shopping.
Lebih baik anda gunakan masa yang ada untuk buat aktiviti di rumah seperti memasak, berkebun, kemas rumah, kemas bilik dan lain-lain lagi. Suami pasti suka melihat anda lain dari selalu.
#14 Urut Suami Dan Belajar Urutan
Belajar urut yang sedap dan rileks di youtube sekejap untuk membolehkan anda mengurut suami dengan teknik yang suami. Suami akan merasai kelainan pada urutan anda dan dapat merasai keikhlasan anda.
#15 Jangan Berleter
Wahhh! Cara pikat suami kali ni memang gila. Macam mana nak tahan gian untuk tidak berleter lagi? Ha, mudah je. Banyakkan istigfar. Jangan berleter kepada suami, sebaliknya senyum dan bertanya soalan dengan baik jika perlu.
#16 Banyakkan Ilmu Pengetahuan
Sebenarnya, lelaki amat suka pada wanita yang bijak. Termasuklah yang banyak ilmu di dada. Anda tak perlu jadi doktor atau saintis pun, tetapi cukuplah membaca, tahu perkara umum dan asas, ambil tahu pasal negara, kesihatan, masyarakat dan lain-lain. Mudah je, baca surat khabar atau baca buku-buku!
#17 Jangan Tinggal Solat
Jangan tinggal solat akan menjadikan anda seorang isteri yang taat dan solehah. Suami akan mula menyedari perubahan anda. Terus istiqamah dalam perubahan sehingga anda ikhlas menjadi seorang isteri solehah, Insyallah itu akan memikat suami dan pulihkan hubungan rumah tangga anda.
#18 Membaca Al-Quran Setiap Hari
Setiap hari, jangan tinggal Al-Quran. Walaupun ia hanya 1 muka surat atau ayat-ayat lazim yang dibaca dalam solat, tidak mengapa. Baca Al-Quran setiap hari dapat menenangkan anda dan orang sekeliling dalam kehidupan anda biarpun mereka tak tahu anda beramal dengan Al-Quran. Tak percaya? Cuba buat dengan bersungguh-sungguh.
#19 Jangan Jatuhkan Air Muka Dan Rendahkan Suami
Walaupun hanya anda berdua yang berbual, jangan sesekali pandang rendah pada suami apatah lagi menjatuhkan air mukanya. Walaupun banyak kekurangan suami, jangan sesekali ungkit tetapi tetaplah beri semangat kepadanya.
#20 Beri Pendapat Apabila Ditanya Sahaja
Ada isteri yang suka cakap banyak tapi tidak ada point. Cuba bersabar dulu. Beri pendapat kepada suami sekiranya anda ditanya sahaja.
Suami akan lebih mendengar kepada anda apabila anda menjawab soalan mereka. Lama kelamaan mereka akan terpikat dengan anda jika jawapan anda berikan sangat bernas.
#21 Sediakan Tempat Tidur Cantik Dan Eksklusif
Amat selesa sekali bila suami balik kerja, lihat tempat tidur yang indah dan eksklusif seperti berada di hotel. Mereka akan aman dan dalam keadaan mood yang baik. Jangan biarkan barang-barang bersepah di bilik. Kemas cepat!
#22 Sentiasa Minta Maaf
Minta maaf kepada suami tak semestinya jika anda buat salah. Kalau boleh, hari-hari minta maaf kepada suami sama ada malam sebelum tidur, pagi sebelum ke kerja dan bila-bila masa yang sesuai. Walaupun tiada kesalahan, minta maaf kerana mereka suami anda. Pasti lembut hati si suami.
#23 Ambil Hati Mertua Atau Keluarga
Jika berkahwin, bermaksud anda berkahwin dengan keluarga dan mertua sekali! Haruslah anda ambil hati ibu bapa kepada suami dan keluarganya.
Si suami akan bahagia jika melihat anda berbaik dan gembira bersama keluarganya. Hantarkan makanan atau hadiah kepada ibu mertua anda, suami mungkin akan sayang anda semula.
#24 Beli Dan Pakai Baju Seksi Tiap Malam
WAJIB. Beli baju tidur seksi dan pakai setiap malam. Walaupun anda ingin menggoda suami, pakai untuk tidur dengan alasan anda panas.Tunggu beberapa hari selepas itu, suami takkan lepaskan anda. Tapi bersedia, suami akan terpikat dengan anda pada malam pertama anda pakai lagi.
#25 Jangan Minta Sesuatu Di Luar Kemampuan Suami
Cara pikat suami untuk pulihkan hubungan rumah tangga adalah jangan meminta sesuatu yang berada di luar kemampuan suami. Bersabar dan hormatilah mereka jika mereka belum mampu untuk berikan apa yang anda mahu. Malah, anda harus sentiasa doakan mereka.#26 Jangan Menolak Permintaan Suami
Jangan menolak apapun permintaan suami kerana akan ada jurang jika anda melakukan sebegitu. Terima dan lakukan permintaan mereka yang tidak bertentangan dengan agama. Mereka juga akan berasa dihargai jika permintaan mereka ditunaikan.#27 Jadi Pendengar Yang Baik
Jika suami ingin ceritakan sesuatu, inilah masanya untuk anda jadi pendengar yang baik. Dengar dengan perasaan empati dan simpati, barulah anda boleh berikan pendapat dan penyelesaian yang bagus buat mereka.#28 Mandi Bersama Suami
Mandi dengan suami adalah cara pikat suami terbaik jika anda lakukannya. Walaupun terasa malu untuk guna cara ini, jika ada kesempatan, jangan sesekali lepaskan peluang ini. Sambil mandi, sambil menggoda suami. Huhu.#29 Beri Kesempatan Suami Melepak Dengan Kawan Mereka
Sejak kahwin, mereka sudah jarang lepak dengan kawan-kawan. Anda boleh syorkan mereka lepak dengan kawan, mereka pasti akan gembira. Berikan sedikit waktu untuk mereka bersama kawan-kawan mereka menonton bola sepak dan sebagainya.#30 Minta Suami Jadi Imam
Dengan meminta suami jadi imam, mereka akan lihat anda inginkan yang terbaik untuk kehidupan rumah tangga anda. Walaupun pada mulanya ada alasan dimana mereka tidak bersedia, tetapi lama kelamaan mereka akan berfikir untuk membimbing anda.Ini merupakan cara pikat suami secara halus yang mereka sendiri tak sedar. Perasaan cinta, kasih dan sayang akan terus hadir dalam jiwa mereka. Tak percaya? Jom kita cuba guna cara ini.
Itulah dia 30 cara pikat suami untuk pulihkan hubungan rumah tangga suami isteri. Semoga sedikit sebanyak dapat membantu anda. Rina doakan yang baik-baik untuk anda semua. Assalamualaikum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan