Mencari Kekuatan, Atasi Ketakutan - RINA KIFLI

Rabu, 21 Ogos 2019

Mencari Kekuatan, Atasi Ketakutan




Salahkah jika aku jadikan platform ini sebagai diary, kerana aku rindu menulis terus menerus dari hatiku.  Setelah sekian lama meniti kerjaya, kini aku sedar.. kerjaya yang lekat dihati pastinya ialah apa yang kita minati.

Pelbagai cerca dan maki ku tempuh, sehinggalah aku memilih jalan ini. Dan aku sedar tanggungjawabnya mungkin lebih dari apa yang aku fikirkan. Tapi tak mengapa. Mungkin kebolehan dan kemampuan aku tinggi dari apa aku takutkan.

Kata orang, Bermimpilah setinggi awan, kerana apabila kita jatuh, kita masih lagi jatuh di atas awan-awan yang lain.  Tiadalah kita jatuh terus di atas bumi. Siapa yang tidak takut jatuh, sudah jatuh ditimpa tangga pula, lagilah ramai yang takut. Ujian demi ujian ku titipkan, tiada satu pun kekuatan ku selitkan.

Kenapa aku terlalu kejam terhadap diri sendiri? Sedangkan aku berfikir waras dan ingin terbaik untuk diri ini. Oh dunia, kalanya kami alpa keranamu tetapi bukan salahmu.. Oh dunia, kalanya kami tunduk keranamu sedangkan bukan kemahuanmu.. Oh dunia, kalanya kami terpaksa begini keranamu, sedangkan kami tak tahu.

Kenapa kita takut? Takut untuk bermimpi. Apakah kita sedar di mana kemampuan kita? Tapi kita tersangkut dek kerana keadaan kita. Wallahi, jika apa kita mahu, kita dapat, pasti kita akan sanggup lakukan apa sahaja untuk mencapainya. Yakinlah, kita pasti dapat. Cuma permainannya kali ini, kita akan dapat setelah berbaloi dengan usaha yang kita lakukan.

Siapa kata dunia kejam, sebenarnya dunia tidak kejam. Tetapi kita sendiri yang kejam. Jika diputarkan masa, betapa ramai manusia yang ingin kembali ke masa lalu untuk mengubah kehidupan. Kenapa tidak mahu ubah dunia? Ya, kerana kita yang harus berubah. Bukan dunia. Kita yang kejam, bukan dunia.



Tiada ulasan: